Skuad B-15 negara sedia beri cabaran di Australia – Nor Zaidi Rohmat

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-15, Nor Zaidi Rohmat menyifatkan Kejohanan Emerging Socceroos 2025 sebagai platform penting dalam pembangunan awal pemain muda negara.
Menurut Zaidi, biarpun tempoh persiapan singkat namun skuad negara sudah bersedia untuk mengharungi kejohanan yang berlangsung di Australia dari 6 hingga 11 Julai.
“Walaupun masa persediaan agak singkat, namun kem latihan yang dijalankan memberikan asas terbaik untuk kami melangkah ke kejohanan ini. Sasaran utama kami bukanlah kepada keputusan semata-mata, tetapi kepada pembentukan karakter, sikap dan winning mentality pemain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, fokus utama pasukan adalah kepada pendekatan permainan yang sudah mula diterapkan di peringkat akademi seperti Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan JDT, dan beliau yakin pemain-pemain muda ini mampu menyerap falsafah bola sepak moden walaupun tempoh latihan singkat.
“Model permainan saya tetap sama iaitu menekankan hantaran pendek, peralihan pantas dan kualiti individu. Cuma dari segi keserasian penuh mungkin belum sempat, tetapi asas itu telah ada pada mereka hasil didikan di pusat latihan masing-masing.”
Dalam pada itu, Zaidi berkata kehadiran beberapa jurulatih berpengalaman dalam skuad kali ini memainkan peranan penting dalam mendidik pemain dari aspek teknikal dan disiplin.
“Bagi saya, aspek pendidikan kepada pemain muda sangat penting. Selain taktikal, kita mahu bentuk karakter dan sahsiah mereka di dalam dan luar padang. Coaching staff yang saya bawa kali ini bukan sekadar rakan sekerja, tetapi mereka benar-benar komited untuk membimbing pemain secara menyeluruh.”
Sementara itu, Zaidi berharap kejayaan atau pengalaman positif di Australia akan membuka lebih banyak ruang kepada pasukan ini untuk mendapat penampilan dalam kejohanan peringkat antarabangsa pada masa depan.