Sasaran saya jelas, bawa balik piala ke Malaysia – Adam Muqri

Pemain skuad bawah 15 tahun kebangsaan, Adam Muqri bin Muhaizam menegaskan bahawa matlamat utamanya dalam Kejohanan Emerging Socceroos 2025 di Australia adalah jelas iaitu membawa pulang trofi ke tanah air.
Mewakili negara dalam kejohanan berprestij yang berlangsung dari 6 hingga 11 Julai ini, Adam mengakui bahawa harapan untuk menjulang kejayaan bukan sekadar impian peribadi, tetapi satu tanggungjawab yang besar demi mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Target peribadi saya adalah, of course, untuk bawa balik piala ke Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Mengulas mengenai persiapan pasukan, Adam memuji komitmen barisan kejurulatihan yang memberikan sokongan padu sepanjang kem latihan walaupun tempoh persiapan agak singkat.
“Barisan kejurulatihan memang banyak bantu kita. Dari segi teknikal dan mental, kita dah ready nak fight. Kita tahu pemain di sana fizikal, laju dan kuat. Tapi kita akan beri yang terbaik.”
Tambahnya lagi, kekuatan mental dan komunikasi dalam pasukan adalah aspek yang perlu ditambah baik, terutamanya apabila berhadapan dengan tekanan di atas padang.
“Kena banyakkan komunikasi dalam padang. Dan dari segi mental, kena kuat bertahan bila berdepan pasukan besar. Tapi saya selalu ingatkan diri, mereka pun ada dua kaki, kita pun ada dua kaki. Main macam biasa, relax, yakin, dan fokus kepada permainan sendiri.”
Dalam pada itu, Adam turut berkongsi nasihat daripada ibu bapanya yang menjadi pembakar semangat sepanjang kejohanan ini.
“Ibu bapa pesan buat yang terbaik, usaha sampai minit terakhir. Banggakan Malaysia. Dan jangan lupa solat.”