DPMM FC tanggung kos pasukan lawan bertandang ke Stadium Nasional Hassanal Bolkiah

1,084

Kehadiran kelab dari Brunei, DPMM FC dalam saingan Liga Super Malaysia dijangka memberikan dimensi baharu kepada saingan musim ini, bukan sahaja dari segi kompetitif, malah dari segi komitmen logistik dan profesionalisme. 

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, DPMM telah bersetuju untuk menanggung sepenuhnya kos pengangkutan dan penginapan pasukan lawan yang akan bertandang ke Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei.


“DPMM FC sudah memberikan jaminan bahawa pasukan pelawat tidak perlu risau tentang logistik. Mereka akan menanggung kos penginapan dan pengangkutan pasukan lawan, seperti mana yang telah mereka lakukan ketika beraksi dalam Liga Singapura dahulu,” 

katanya.

Tambah Shazli lagi, pihak MFL juga akan melakukan sesi lawatan dan pemeriksaan rasmi ke venue perlawanan, hotel serta kemudahan berkaitan di Brunei pada 10 dan 11 Julai ini. 

Tujuan pemeriksaan ini adalah bagi memastikan semua fasiliti memenuhi standard pertandingan serta memberi pengalaman terbaik kepada semua pasukan yang bertanding.

“Perkara ini telah dipersetujui secara kolektif antara MFL dan DPMM FC, dan kami telah menyemak dengan rakan-rakan di Singapore Premier League mengenai komitmen DPMM sebelum ini. Hasilnya, kita yakin perkara yang dijanjikan akan dilaksanakan dengan baik dalam Liga Super juga.”

Dalam pada itu, Shazli berkata saingan musim liga musim ini akan turut disertai dua pasukan baharu iaitu Imigresen FC dan Melaka FC yang dinaikkan dari Liga A1 Semipro.

Beliau melihat penyertaan tiga pasukan baharu ini sebagai suntikan positif yang bukan Sahaja menyemarakkan saingan liga, malah membuka peluang untuk penajaan dan jangkauan liga yang lebih meluas.

“Tidak ada perubahan dari segi insentif atau ganjaran kemenangan dalam liga. Struktur sedia ada dikekalkan, dan kita yakin kehadiran pasukan-pasukan baharu ini akan memberi impak yang lebih besar kepada perkembangan bola sepak tempatan.”