Cornelli bangga dengan usaha Malayan Tigress walaupun impian ke Piala Asia 2026 tidak kesampaian

203

Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Joel Cornelli tetap melahirkan rasa bangga terhadap pemain-pemain Malayan Tigress meskipun impian untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia Wanita 2026 tidak kesampaian.

Ia susulan kekalahan 6-0 kepada pasukan pilihan Korea Utara dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan H.


“Saya sangat berbangga dengan pasukan saya. Dalam dua perlawanan pertama, kami bertemu pasukan yang setaraf dan kami menang. Tetapi apabila berdepan Korea Utara, kami tahu mereka lebih bersedia, dengan pemain yang lebih berpengalaman dan matang dari segi permainan,”

katanya.

Tambahnya lagi, skuad negara hanya sempat menjalani latihan selama dua bulan sebelum kejohanan berlangsung, menjadikan pencapaian yang diraih kali ini satu permulaan yang cukup baik untuk masa depan.

“Ini kali pertama saya bersama pasukan Malaysia dan saya sangat berbangga dengan apa yang kami capai di sini. Saya yakin dengan lebih banyak masa untuk bekerja dan memperkemas aspek teknikal serta fizikal, pasukan ini boleh pergi lebih jauh.”

Dalam pada itu, Cornelli optimis bahawa skuad Malayan Tigress mampu mencabar di pentas lebih tinggi pada masa akan datang jika diberikan ruang dan sokongan berterusan.

“Saya yakin pada kejohanan akan datang, kami boleh perbaiki kedudukan dan memberikan saingan yang lebih kompetitif.”

Walaupun kempunan ke pusingan akhir, prestasi positif yang dipamerkan dalam dua kemenangan awal membuktikan pasukan wanita negara berada di landasan pembangunan yang tepat. 

Kini, fokus akan tertumpu kepada pelan jangka panjang dan penambahbaikan menyeluruh bagi memastikan Malayan Tigress terus berkembang di peringkat Asia.