Premier League bakal disiarkan secara percuma?
Cadangan untuk menyiarkan sekurang-kurangnya 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara percuma setiap musim kini sedang dipertimbangkan oleh Parlimen United Kingdom.
Dipetik dari BBC, parti Liberal Demokrat mengemukakan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Tadbir Urus Bola Sepak, yang dijangka mewujudkan badan pengawal selia bebas untuk memantau liga bola sepak lelaki di England.
Cadangan tersebut turut meliputi siaran percuma bagi aksi akhir Piala Liga serta perlawanan akhir play-off Championship, Liga Satu dan Liga Dua.
Ia dilihat sebagai langkah memperluas akses awam kepada acara bola sepak utama tanpa perlu melanggan perkhidmatan TV berbayar.
Menurut jurucakap Liberal Demokrat, Max Wilkinson, inisiatif ini bertujuan “meruntuhkan tembok bayaran” dan memulangkan Liga Perdana kepada rakyat.
Beliau menyifatkan pendekatan ini serupa dengan langkah kerajaan Sepanyol yang mewajibkan satu perlawanan La Liga disiarkan secara percuma setiap minggu sejak 2022.
Walau bagaimanapun, kerajaan UK setakat ini tidak bercadang menyemak semula dasar senarai acara wajib siar. Pihak Liga Perdana juga enggan memberi komen terhadap isu tersebut.
Dengan harga langganan tahunan mencecah £660, cadangan ini dilihat mampu meringankan beban peminat dan meningkatkan capaian penonton, terutama ketika angka tontonan Liga Perdana menunjukkan penurunan musim lalu.