Biarpun gagal layak ke Piala Asia Wanita 2026, Steffi tetap bangga apabila sasaran 2 kemenangan tercapai

117

Walaupun skuad Malayan Tigress gagal melayakkan diri ke Piala Asia Wanita 2026, kapten pasukan, Steffi Sarge Kaur melihat kempen kelayakan baru-baru ini sebagai satu perjalanan yang penuh nilai dan pembelajaran buat pasukan negara.

Skuad negara menamatkan saingan Kumpulan H di tempat kedua di belakang gergasi Asia, Korea Utara, selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Tajikistan dan Palestin. 


Menurut Steffi, sasaran awal untuk mengutip enam mata dalam dua perlawanan pertama sudah pun dianggap berjaya dicapai.

“Sebenarnya, sasaran utama kami adalah untuk memenangi dua perlawanan pertama menentang Tajikistan dan Palestin dan misi itu berjaya disempurnakan. Kami juga sedar bahawa perlawanan ketiga menentang Korea Utara bakal menjadi ujian paling sukar, memandangkan mereka merupakan pasukan ranking kesembilan dunia,”

katanya.

Tambah Steffi, aksi menentang Korea Utara bukan sahaja menguji kemampuan fizikal dan taktikal, malah membentuk ketahanan mental dalam kalangan pemain.

“Kami tahu kekuatan Korea Utara. Tapi apa yang paling penting, kami turun bermain dengan misi untuk tidak berputus asa. Walaupun mereka lebih tangkas dan teknikal, kami tidak menyerah.”

Dalam pada itu, Steffi berkata apa yang paling membanggakan buat dirinya adalah semangat juang dan peningkatan prestasi pasukan, terutama dalam aspek formasi, kawalan bola dan kadar kerja di atas padang. 

Beliau turut mengakui bahawa di bawah kendalian ketua jurulatih baharu Joel Cornelli, tahap fizikal dan taktikal pasukan telah banyak meningkat.

Pada masa sama Steffi juga memuji semangat kerja berpasukan antara pemain senior dan junior yang kini menjadi kekuatan baharu buat Malayan Tigress. 

“Junior macam Julia dan Amira cepat belajar dan mudah berkomunikasi. Mereka ada fizikal yang bagus, manakala kami yang lebih senior bantu dari segi pengalaman. Gabungan ini buatkan kami lebih kuat sebagai satu pasukan.”

Sementara itu, Steffi berharap skuad negara dapat terus mengekalkan momentum dan semangat yang ditunjukkan sepanjang kempen kelayakan ini sebagai asas kepada kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. 

Dengan kerja keras dan semangat tidak pernah putus asa, Malayan Tigress kini berada di landasan yang tepat untuk menjadi pencabar lebih serius di pentas Asia.