Prestasi Malayan Tigress semakin meningkat, Dato’ Suraya sifatkan sebagai luar biasa

105

Kempen kelayakan Piala Asia Wanita 2026 yang disertai skuad Malayan Tigress baru-baru ini bukan sahaja menonjolkan peningkatan ketara dari segi keputusan, malah membuka lembaran baharu dalam pembangunan bola sepak wanita negara. 

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob menyifatkan prestasi pasukan kali ini sebagai satu pencapaian luar biasa yang wajar dibanggakan, biarpun skuad negara gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Wanita 2026.


Menurut Suraya, sejak skuad negara dikendalikan oleh ketua jurulatih baharu Joel Cornelli mereka telah mencatatkan lima kemenangan daripada tujuh perlawanan yang diharungi, termasuk kemenangan ke atas Tajikistan dan Palestin dalam pusingan kelayakan.

“Bagi saya, ini adalah antara siri terbaik sejak saya terlibat dengan bola sepak wanita. Biasanya kita bawa balik satu atau dua gol sahaja. Tapi kali ini, bawa 10 gol. Itu satu pencapaian yang cukup membanggakan,”

katanya.

Jelasnya, prestasi memberangsangkan ini tidak mungkin dicapai tanpa komitmen penuh pemain, kepercayaan kepada jurulatih, dan sokongan padu daripada pasukan pengurusan. 

Beliau juga memuji pendekatan taktikal baharu yang diterapkan jurulatih serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan pemain senior dan pemain muda.

Dalam pada itu, Suraya turut mengiktiraf peranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), khususnya Menteri YB Hannah Yeoh, yang memberikan perhatian serius terhadap bola sepak wanita, dari aspek moral, fasiliti dan peruntukan kewangan telah memberi nafas baharu kepada pasukan wanita negara.

“Kesungguhan YB Menteri dan komitmen daripada semua pihak sangat membantu. Bila strategi berubah dan pemain percaya pada jurulatih, hasilnya nyata.”

Tambahnya lagi, kesinambungan prestasi ini perlu diperkukuhkan melalui perancangan berstruktur yang mana kesemua pemain ini akan terlibat dalam saingan Liga Wanita Nasional yang akan bermula minggu ini.

LWN juga bakal menjadi platform terbaik dalam persiapan ke temasya Sukan SEA akan datang.

Sementara itu, Suraya juga berkata mereka akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan menjelang kejohanan tersebut.

Selain itu, FAM turut merancang untuk mengadakan beberapa aksi persahabatan antarabangsa sebagai medan pemantapan taktikal dan keserasian pasukan menjelang kejohanan tersebut.