Brentford mahu lantik Ange Postecoglou sebagai pengganti Thomas Frank

44

Brentford dilaporkan hampir melantik bekas ketua jurulatih Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, bagi menggantikan Thomas Frank yang telah berhijrah ke Spurs pada musim panas ini. 

Dipetik dari Skysports, laporan eksklusif daripada The Athletic, Brentford pada awalnya mempertimbangkan Postecoglou sebagai calon utama susulan pemergian Frank ke kelab London itu dengan kontrak selama tiga tahun.


Perbincangan tidak rasmi dikatakan telah diadakan antara Pengarah Bola Sepak Brentford, Phil Giles, dan Postecoglou. 

Namun, kedua-dua pihak akhirnya mencapai persetujuan untuk tidak meneruskan proses itu, memandangkan ia bukanlah pilihan terbaik buat masa ini. Tiada sesi temu duga formal dilakukan.

Selain Postecoglou, Brentford turut menilai beberapa calon lain, termasuk bekas pengendali Ajax, Francesco Farioli, yang kini telah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu FC Porto.

Akhirnya, Brentford mengambil keputusan untuk mempromosikan Keith Andrews sebagai pengurus baharu. 

Andrews, bekas pemain antarabangsa Republik Ireland, sebelum ini merupakan jurulatih sepakan set-piece di kelab tersebut.

Langkah ini menandakan kepercayaan Brentford terhadap pembangunan dalaman dan kesinambungan struktur kejurulatihan yang sedia ada, sekaligus menutup spekulasi perpindahan jurulatih berprofil tinggi seperti Postecoglou ke kelab London Barat itu.