Sasaran kami sudah pasti untuk mara ke final dan bergelar juara – Ziad El Basheer
Pemain tengah Harimau Malaya B-23, Ziad El Basheer, meluahkan keyakinan tinggi terhadap persiapan skuad kendalian Nafuzi Zain menjelang saingan Piala Mandiri ASEAN B-23 yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia bermula 15 Julai 2025.
Meskipun masa persiapan agak terhad, Ziad menyifatkan kem latihan kali ini sebagai positif dan penuh semangat.
Menurut Ziad, keserasian yang terjalin dalam kalangan pemain, meskipun baru dikumpulkan, telah memberikan bayangan awal akan kekuatan pasukan ini menjelang kejohanan antarabangsa tersebut.
“Syukur Alhamdulillah, kami satu pasukan telah membuktikan semangat yang kami ingin bawa ke Indonesia. Kemenangan dalam perlawanan persahabatan sebelum ini menjadi suntikan motivasi buat kami, dan sasaran kami sudah pasti untuk mara ke final dan bergelar juara,”
katanya.
Ziad turut mengakui bahawa pengalaman di pentas antarabangsa sebelum ini akan membantu dalam menghadapi suasana dan tekanan berbeza di Indonesia, namun perasaan teruja lebih mengatasi tekanan kerana mereka bakal membawa nama Malaysia di pentas serantau.
“Saya lebih teruja sebab saya bawa nama Malaysia. Kami tak janji bulan dan bintang, tapi kami akan beri yang terbaik.”
Dalam pada itu, Ziad turut memuji pendekatan mesra dan terbuka yang ditunjukkan oleh ketua jurulatih Nafuzi Zain sepanjang sesi latihan.
Beliau berkata Nafuzi kerap berkomunikasi dengan pemain dan sentiasa memberi ruang untuk bertanya telah menjadikan suasana dalam pasukan lebih erat dan berkesan.
“Coach Nafuzi memang mudah didekati. Kalau ada yang tak faham, dia akan tanya dan jelaskan. Itu yang buat kami lebih rapat dan selesa.”
Sementara itu, Ziad bertekad mahu memanfaatkan sebarang ruang yang datang kerana baginya, jika diberi peluang ke Indonesia sekali lagi beliau memastikan dirinya memberi aksi terbaik.
“Kalau diberi peluang, saya nak buktikan yang saya layak untuk wakili Malaysia dan bantu pasukan mara ke final dan menjadi juara.”