PSG belasah Real Madrid, tempah Final Piala Dunia Kelab FIFA menentang Chelsea

148

Paris Saint-Germain (PSG) melangkah penuh bergaya ke final Piala Dunia Kelab FIFA selepas membelasah gergasi Sepanyol, Real Madrid 4-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium MetLife, Amerika Syarikat.

Dipetik dari BBC, pertembungan dua kelab elit Eropah ini hanya memerlukan 24 minit untuk PSG mengesahkan dominasi mutlak mereka apabila tiga gol awal terus mematikan semangat Real. 


Jaringan pembukaan hadir seawal minit keenam menerusi Fabian Ruiz yang menyempurnakan peluang susulan kesilapan besar pertahanan Real, Raul Asencio. 

Pengadil tidak meniup wisel selepas Thibaut Courtois menjatuhkan Ousmane Dembele, membolehkan permainan diteruskan dan gol dijaringkan.

Tiga minit kemudian, Dembele terus menghukum Real apabila menyudahkan peluang dengan tenang selepas kesilapan Antonio Rudiger. 

PSG terus menggandakan tekanan dan menghasilkan gol ketiga menerusi Ruiz selepas kombinasi menarik bersama Achraf Hakimi.

Real Madrid yang beraksi tanpa bintang mereka, Trent Alexander-Arnold akibat kecederaan, kelihatan buntu dan tidak berdaya mengimbangi kekuatan pasukan Paris.

Goncalo Ramos menambah derita Los Blancos dengan gol keempat PSG pada penghujung perlawanan.

Dengan kemenangan bergaya ini, PSG akan menentang Chelsea di final yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.