Morgan Gibbs-White bakal sertai Tottenham dengan nilai £60 juta
Pemain tengah Nottingham Forest, Morgan Gibbs-White dijangka bakal melengkapkan perpindahan ke Tottenham Hotspur selepas Spurs bersetuju mengaktifkan klausa pelepasan bernilai £60 juta.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 25 tahun itu akan menjalani ujian perubatan pada Jumaat sebelum dimuktamadkan sebagai pemain baharu Spurs.
Menurut laporan BBC Sport, Spurs dijangka menyelesaikan semua formaliti perpindahan dalam tempoh 24 jam, selepas Gibbs-White menarik minat beberapa kelab utama Liga Perdana Inggeris termasuk Manchester City.
Namun, City dilaporkan telah menarik diri daripada rundingan, memberi laluan kepada Spurs untuk mempercepatkan urusan perpindahan.
Musim lalu, Gibbs-White mempamerkan prestasi cemerlang dengan menjaringkan tujuh gol dan mencipta lapan bantuan jaringan dalam 34 perlawanan liga.
Keupayaannya yang konsisten telah menarik minat pasukan-pasukan besar, dan Spurs yang kini di bawah kendalian Thomas Frank tidak teragak-agak menjadikannya sebagai tambahan utama skuad musim baharu.
Gibbs-White menyertai Forest dari Wolverhampton Wanderers pada tahun 2022 dengan nilai sekitar £25 juta dan berjaya mencatatkan 118 penampilan, menjaringkan 18 gol serta 28 assist.
Beliau juga memiliki empat kaps antarabangsa bersama skuad England dan dianggap sebagai salah seorang pemain tengah masa depan negara.
Perpindahan ini menyusuli penjualan Anthony Elanga ke Newcastle dan pembelian Mohammed Kudus dari West Ham oleh Spurs.