Gabungan KLFA & KL City FC mampu bawa kelainan – Indra Putra

184

Bekas pemain kebangsaan dan KL City FC, Indra Putra Mahayuddin menyuarakan keyakinannya terhadap potensi dan hala tuju baharu yang dibawa oleh gabungan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan KL City yang kini dilihat mampu mencipta impak lebih besar dalam saingan Liga Malaysia.

Menurut Indra, pembaharuan yang dilakukan menerusi kerjasama antara KLFA dan KL City bukan sekadar simbolik, tetapi langkah yang sangat positif bagi memperkukuhkan struktur bola sepak ibu kota secara menyeluruh.


“Inilah yang kita nak lihat apabila KLFA dan KL City bergabung, satu pembaharuan. Ramai yang mahu melihat kemajuan dan sesuatu yang baharu daripada kerjasama ini. Saya yakin banyak lagi aktiviti menarik akan dijalankan sepanjang tahun ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Indra juga optimis dengan kehadiran pemain-pemain berpengalaman serta tonggak kebangsaan dalam skuad KL City musim ini akan memberi kelebihan besar kepada The City Boys untuk mencabar lebih jauh dalam liga.

“Saya nampak KL City boleh pergi lebih jauh dengan pemain yang ada sekarang. Ini penting untuk liga kita supaya lebih kompetitif dan beri saingan hebat setiap minggu.”

Dalam pada itu, Indra yang mengulas tentang peluang untuk menamatkan musim di kedudukan dua teratas Liga Super, beliau menjelaskan bahawa segala kemungkinan masih terbuka, namun segalanya bergantung kepada bagaimana prestasi sebenar pasukan dipamerkan apabila liga bermula.

“Memang sebelum ini KL City berada di pertengahan liga, tapi dengan perubahan sekarang dan pemain yang berkualiti, saya rasa sasaran lebih tinggi boleh dicapai. Cuma kita masih belum lihat permainan sebenar mereka.”

Sementara itu, gabungan KLFA dan KL City bukan hanya tentang pengurusan, tetapi juga tentang mencipta identiti baharu yang lebih utuh untuk Kuala Lumpur sebagai kuasa bola sepak yang serius dan relevan dalam kancah domestik.