SCORE Marathon 2025 cipta rekod baharu, sasar lebih besar tahun hadapan – Patricia Tan

310

Acara larian tahunan terbesar negara, SCORE Marathon 2025 yang berlangsung di Putrajaya sekali lagi mencipta kejayaan luar biasa dengan kehadiran seramai 33,000 peserta dari dalam dan luar negara. 

Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan menyifatkan kejayaan ini sebagai satu lonjakan besar dalam usaha pihaknya mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif.


“Tahun ini kita ‘level up’, bukan sahaja dari segi jumlah penyertaan, tetapi ramai juga peserta berjaya melengkapkan 21KM serta mencatatkan Personal Best (PB) mereka. Ini petanda positif bahawa masyarakat semakin serius dalam menjadikan aktiviti larian sebagai sebahagian daripada rutin hidup sihat,”

katanya.

Menurut Patricia, kejayaan mencecah angka 33,000 peserta tahun ini adalah hasil perancangan dan sasaran yang jelas sejak tahun lalu.

“Tahun lepas kami capai 25,000 penyertaan, jadi kami letak sasaran 33,000 untuk tahun ini — dan kami berjaya capai. Terima kasih kepada semua pelari dan juga rakan penaja yang telah bersama kami selama 12 tahun ini.”

Pada masa sama SCORE Marathon 2025 turut menarik penyertaan antarabangsa yang mengagumkan, melibatkan peserta dari 48 negara termasuk Jepun, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Dalam pada itu, Patricia berkata melihat kepada sambutan yang begitu menggalakkan, pihaknya kini menyasarkan untuk melangkah lebih jauh pada tahun hadapan dengan sasaran penyertaan yang lebih tinggi.

“Kami sangat berambisi. Tahun depan kami rancang untuk anjurkan dengan lebih besar dan menarik lebih ramai penyertaan. Misi kami tetap sama iaitu untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat.”

Menariknya, SCORE Marathon tahun ini juga mendapat pengiktirafan sebagai World Athletics Road Race Label Event.

Sementara itu, dengan status itu Patricia mengesahkan bahawa pihaknya akan menjemput lebih ramai pelari elit termasuk dari Afrika pada edisi seterusnya.

“Kami mahu sediakan pengalaman bertaraf antarabangsa kepada semua peserta dan menjadikan SCORE Marathon antara acara larian terbaik dunia.”