Kriket patut diberi perhatian, mampu bawa nama Malaysia ke Piala Dunia

925

Jika bercakap mengenai sukan kriket, tidak ramai yang mengenali sukan ini. Malah ada di antara peminat-peminat sukan tanah air tidak menyedari bahawa Malaysia mempunyai pasukan kebangsaan dalam kriket.

Menjelaskan tentang perkara itu, COO Malaysian Cricket Association, Dinesh Muthuraman menjelaskan bahawa ranking pasukan Malaysia bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita adalah sangat baik.


“Ranking untuk pasukan kriket T20 lelaki berada pada kedudukan ke-33 dunia manakala ranking pasukan kriket T20 wanita berada pada kedudukan ke-32 dunia”

katanya kepada Harimau Malaya

Biarpun tidak menerima dana yang banyak daripada pihak berwajib, inisiatif yang dilakukan oleh persatuan sukan ini merupakan satu langkah yang terpuji. Mereka merancang pelbagai program yang dirasakan dapat membantu untuk kelangsungan sukan kriket di Malaysia.

Program-program di peringkat akar umbi misalnya amat membantu daripada segi mencari bakat-bakat terpendam dan jurulatih-jurulatih yang berkaliber dalam melahirkan pemain yang akan mewarisi skuad kebangsaan kelak.

Kerjasama yang diberikan oleh pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan Malaysia amat membantu terutamanya daripada sudut pembangunan sukan itu sendiri.

“Kriket mempunyai program di peringkat akar umbi yang menerima tajaan Yayasan Sime Darby iaitu Program Adiwira. Program ini merupakan program selama lapan minggu dan akan diberikan sijil peringkat kebangsaan”

“Sehingga kini terdapat lebih daripada 8,000 penyertaan secara dalam talian untuk menyertai program ini”

katanya kepada Harimau Malaya

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Sukan Kriket, Azhar Ahmad menjelaskan cabaran terbesar untuk memperkenalkan sukan kriket adalah untuk meyakinkan pihak sekolah sukan ini tidak bermodal besar dan mampu pergi jauh.

“Pada mulanya, pihak sekolah menganggap sukan ini sukan yang mahal dan perlukan tempat yang sesuai untuk dimainkan. Namun, selepas dijelaskan sukan ini tidak menelan belanja besar dan boleh dimainkan di mana-mana sahaja, barulah mereka bersetuju”

katanya kepada Harimau Malaya

Sehingga kini terdapat lebih daripada 269 buah sekolah seluruh negara yang menjadi perintis kepada Program Adiwira ini dengan 220 buah sekolah telahpun memulakan program ini. Hal ini menunjukkan bahawa komitmen yang ditunjukkan oleh persatuan ini telah mula menampakkan hasil bagi merintis kemungkinan Malaysia menjadi antara nama besar dalam sukan kriket.

Tidak mustahil jika program pembangunan ini diteruskan dengan sistematik, impian untuk beraksi dalam Piala Dunia Kriket akan dapat direalisasikan tidak lama lagi.