Malaysian Ladies Amateur Open 2025 kembali lebih berprestij dengan semangat ASEAN
Kejohanan golf wanita amatur paling berprestij di Malaysia, 39th Templer Park CC Malaysian Ladies Amateur Open 2025, bakal membuka tirainya hujung bulan ini di Templer Park Country Club (TPCC).
Dianjurkan oleh Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA), edisi kali ini mendapat sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) melalui Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS), sebagai salah satu inisiatif bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Disenarai dalam Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR) dengan penarafan C oleh R&A, kejohanan ini bukan sahaja menjadi pentas utama bagi pencarian bakat golf wanita tempatan, malah menjadi medan kompetitif berkelas antarabangsa untuk atlet dari rantau ASEAN dan negara jemputan lain.
Edisi ke-39 ini menampilkan penyertaan dari lapan negara ASEAN — Brunei, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam — serta peserta antarabangsa dari China, Hong Kong, India, Chinese-Taipei, Pakistan dan Korea Selatan.
Malaysia akan diwakili oleh pemain muda berbakat: Wang Xin Yao, Pang Hee Jie, dan Foong Zi Yu.
Empat trofi utama bakal dipertandingkan:
- Piala DYMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan – Juara Kategori Terbuka
- Piala Y.A.M. Tunku Tun Maimunah – Kategori Mid-Amatur
- Piala Maria Musa – Kategori Senior
- Piala Mary Williams – Acara Berpasukan
Selain menjadi gelanggang pertandingan, kejohanan ini juga menjadi platform untuk diplomasi sukan, mempromosikan pelancongan sukan antarabangsa, dan mengukuhkan hubungan serantau antara negara ASEAN menerusi kerjasama dalam industri golf.
Majlis penyampaian trofi akan disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, sebagai penutup kepada kejohanan yang bukan sahaja menjulang semangat kesukanan tetapi juga membina jambatan perpaduan serantau melalui sukan wanita.