“Kita bukan gah seperti bola, tapi ranking kita lebih tinggi” – Setiausaha Kehormat Majlis Kriket Johor

869

Itulah realiti yang perlu ditelan oleh peminat sukan di negara kita. Umum mengetahui bola sepak sentiasa menjadi sukan nombor satu di Malaysia, namun banyak lagi sukan lagi yang boleh dijadikan sandaran untuk mencapai kejayaan.

Setiausaha Kehormat Majlis Kriket Johor, Haikal Harith mengulas ketika diajukan soalan mengenai mengapa sukan kriket seolah-olah dipinggirkan biarpun kejayaan demi kejayaan telahpun dicapai di peringkat antarabangsa.


“Perkembangan sukan kriket di Malaysia sebenarnya agak perlahan tambahan pula dengan isu Covid-19 yang melanda negara. Namun, usaha yang dilakukan oleh pihak persatuan wajar dipuji dalam usaha menaikkan nama sukan kriket supaya lebih dikenali”

katanya kepada Harimau Malaya

Bercakap mengenai sambutan sukan kriket di peringkat negeri, beliau menjelaskan bahawa sukan ini sebenarnya mempunyai sambutan yang agak baik dengan penganjuran liga-liga tempatan.

Namun, beliau berpendapat bahawa idea ini boleh ditambah baik dengan penambahan dana untuk penambahbaikan fasiliti dan venue serta untuk mencungkil bakat-bakat baru.

Di samping itu, kekurangan liputan media juga menjadi antara sebab mengapa sukan ini seolah-olah dipinggirkan.

“Kekurangan liputan oleh rakan media menyebabkan sukan ini kurang terkenal. Bukan sahaja kriket, malah sukan-sukan seperti ragbi dan hoki yang rankingnya lebih tinggi juga turut menerima nasib sama.”

“Media boleh mainkan peranan untuk mempromosikan sukan-sukan ini untuk pendedahan. Jika ada bakat-bakal cilik yang melihat tentang sukan ini di media, sudah pastilah mereka akan tertarik dan akan mengikuti perjalanan idola-idola mereka”

katanya kepada Harimau Malaya