Bellingham terlepas aksi awal musim akibat pembedahan bahu

81

Pemain tengah sensasi England dan Real Madrid, Jude Bellingham, disahkan bakal terlepas permulaan musim 2025/26 selepas menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan bahu yang berlarutan sejak tahun lalu.

Dipetik dari BBC, pemain berusia 22 tahun itu mengalami kehelan bahu semasa aksi La Liga menentang Rayo Vallecano pada 2023 dan sejak itu bergelut dengan kesakitan meskipun terus beraksi. 


Bellingham mengakui dalam satu wawancara pada Jun lalu bahawa beliau sudah “penat bermain dengan anduh” dan memerlukan penyelesaian jangka panjang.

Real Madrid memaklumkan bahawa pembedahan tersebut berjalan lancar dan pemain itu kini sedang menjalani fasa pemulihan. 

Bagaimanapun, beliau dijangka tidak dapat menyertai pramusim kelab dan bakal terlepas sekurang-kurangnya enam minggu pertama musim baharu, termasuk perlawanan kelayakan Piala Dunia England menentang Andorra dan Serbia pada September.

Di bawah kendalian pengurus baharu, Xabi Alonso, Real Madrid akan memulakan kempen La Liga menentang Osasuna pada 19 Ogos.

Bellingham menyertai Real dari Borussia Dortmund pada 2023 dengan nilai £115 juta, dan terus menyinar apabila menjaringkan 23 gol dalam musim sulungnya sambil membantu Real menjulang gelaran La Liga dan Champions League.