Isu penyingkiran Crystal Palace dari Europa League tarik perhatian Ahli Parlimen UK

51

Kontroversi penyingkiran Crystal Palace dari Liga Europa terus mencetus perdebatan hangat apabila tujuh Ahli Parlimen Parti Liberal Demokrat, termasuk ketua parti Sir Ed Davey, menggesa Setiausaha Kebudayaan UK, Lisa Nandy, untuk campur tangan. 

Dipetik dari BBC, mereka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan UEFA yang disifatkan sebagai “tidak adil dan memalukan”, selepas kelab itu dipindahkan ke Conference League berikutan pelanggaran peraturan pemilikan pelbagai kelab.


Crystal Palace, yang baru sahaja mencipta sejarah dengan memenangi Piala FA buat pertama kali pada Mei lalu, pada awalnya layak ke Liga Europa. 

Namun, kerana John Textor pemilik saham dalam Palace turut memiliki majoriti dalam kelab Perancis, Lyon, UEFA mengambil keputusan mengejut untuk menyingkirkan kelab England itu, berpegang pada peraturan yang melarang dua kelab berkaitan bertanding dalam kejohanan sama.

Surat rasmi dari Ahli Parlimen kepada Lisa Nandy menekankan bahawa proses ini “kabur dan terlalu menghukum,” serta berpotensi melemahkan keyakinan awam terhadap tadbir urus bola sepak.

Pengerusi kelab, Steve Parish, menyatakan bahawa Crystal Palace akan membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), manakala penyokong telah pun mengadakan demonstrasi aman di Selhurst Park bagi menuntut keadilan. 

Sementara itu, tempat Palace di Europa League dijangka akan diisi oleh Nottingham Forest.