FAM tarik diri saat akhir, CAFA kecewa: Apa seterusnya buat Harimau Malaya?
Keterujaan peminat bola sepak tanah air untuk menyaksikan Harimau Malaya beraksi dalam CAFA Nations Cup 2025 akhirnya tidak kesampaian apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi mengumumkan penarikan diri skuad kebangsaan daripada kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Tajikistan dari 29 Ogos hingga 8 September 2025.
Keputusan ini, bagaimanapun disambut dengan rasa kesal d oleh Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA), penganjur kejohanan.
Alasan FAM: Tarikh di luar jendela FIFA dan cabaran pemain
FAM menerusi satu kenyataan rasmi menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan strategik jangka panjang untuk kebajikan pemain dan kemajuan bola sepak negara.
Puncanya ialah perubahan tarikh kejohanan yang, menurut FAM, kini jatuh di luar jendela antarabangsa FIFA.
“Walaupun pada awalnya kami amat berbesar hati dan teruja untuk menyertai kejohanan ini, perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang kini jatuh di luar jendela antarabangsa FIFA telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhannya.”
FAM menegaskan perubahan tarikh berlaku selepas undian rasmi dilakukan, menyebabkan kejohanan bermula di luar kalendar FIFA.
Situasi ini bermakna kelab-kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain mereka, terutamanya yang beraksi di liga utama luar negara.
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menyokong penuh keputusan tersebut dan menekankan cabaran praktikal.
“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia & Jepun. Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini.”
Beliau menambah, “Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik. Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal.”
Kenyataan balas CAFA: Tiada perubahan jadual, persediaan terganggu
CAFA, bagaimanapun, tampil dengan naratif yang berbeza di mana dalam satu kenyataan rasmi, persatuan itu secara tegas menafikan sebarang perubahan jadual kejohanan.
“Penyertaan Malaysia telah pun disahkan lebih awal, dengan kesedaran penuh terhadap tarikh kejohanan (29 Ogos – 8 September 2025) serta jadual perlawanan, dan tarikh tersebut tidak pernah berubah sejak dari awal.”
CAFA menyifatkan penarikan diri FAM pada saat akhir ini sebagai satu perkara yang “dikesali” dan mengganggu proses penganjuran yang sudah jauh berjalan.
Mereka juga ‘membidas’ alasan FAM berkenaan kesukaran mendapatkan pemain kerana peraturan kejohanan membenarkan pendaftaran pemain dilakukan secara perlawanan demi perlawanan, berdasarkan senarai awal 35 pemain.
“Ini memberikan fleksibiliti maksimum, termasuk kemungkinan pemain utama menyertai skuad untuk perlawanan berikutnya.”
Kenyataan itu sekaligus memperlihatkan FAM sebenarnya boleh menguruskan cabaran pemain tanpa perlu menarik diri sepenuhnya.
Peminat kecewa, keliru & tertanya perancangan Harimau Malaya selepas ini
Situasi yang berlaku membuatkan peminat kecewa dan keliru serta tertanya-tanya mengapa wujud percanggahan kenyataan antara FAM dan CAFA dan dengan penarikan diri ini, adakah FAM akan berusaha mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa lain pada jendela September? Atau adakah kem latihan domestik seperti yang disebut Cklamovski menjadi satu-satunya rancangan?
Penarikan diri pada saat akhir juga meninggalkan kesan terhadap reputasi FAM di pentas serantau, seperti yang diungkapkan kekecewaan CAFA.
Tumpuan kini beralih kepada bagaimana FAM akan memastikan masa persediaan yang berharga pada September nanti benar-benar dimanfaatkan sebaik mungkin untuk misi lebih besar iaitu menghadapi perlawanan penting Kelayakan Piala Asia menentang Laos dan Nepal pada Oktober dan November nanti.