Misi tebus kekecewaan, Harimau Muda fokus aksi menentang Brunei
Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Nafuzi Zain, menegaskan bahawa pemain-pemainnya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk bangkit dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala Mandiri 2025 menentang Brunei esok.
Selepas kekalahan mengecewakan kepada Filipina dalam aksi sulung, Nafuzi berkata satu sesi post-mortem telah diadakan bersama para pemain bagi menganalisis kelemahan dan meningkatkan persefahaman pasukan.
“Kita sudah berbincang dengan pemain, dan saya lihat moral mereka masih baik. Mereka kesal dengan kekalahan lalu dan berjanji akan bangkit dalam aksi seterusnya menentang Brunei,”
katanya.
Nafuzi juga menekankan walaupun pasukan Brunei dibelasah Indonesia 8-0, beliau tidak menjadikan keputusan itu sebagai sandaran sebaliknya mahu anak buahnya kekal fokus.
“Kita tahu Brunei tewas dengan jaringan besar, tapi itu bukan alasan untuk kita leka. Dalam bola sepak, keputusan besar tidak menjamin kemenangan mudah.”
Beliau turut menekankan pentingnya keberkesanan di hadapan gawang gol, sambil mengingatkan pemain agar lebih fokus di bahagian pertahanan.
“Setiap peluang menjaringkan gol perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana peluang di peringkat antarabangsa tidak datang selalu. Pada masa sama, pertahanan tidak boleh leka walau sesaat.”
Perlawanan menentang Brunei dilihat sebagai peluang terbaik untuk Malaysia mengutip tiga mata dan kembali bersaing dalam saingan Kumpulan A sekaligus mencerahkan peluang mereka mara ke peringkat kalah mati.