Kami sudah ‘move on’, kini fokus kutip tiga mata bertemu Brunei – Ziad El Basheer
Pemain skuad kebangsaan B-23, Ziad El Basheer, menegaskan bahawa mereka sudah melupakan kekalahan kepada Filipina tempoh hari dan kini fokus sepenuhnya untuk bangkit dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Mandiri 2025 menentang Brunei, esok.
Menurut Ziad, pasukannya kini dalam keadaan lebih bersedia secara mental dan fizikal.
“Bagi kami, tewas pada Filipina tempoh hari sudah kami lupakan. Sekarang kami hanya fokus untuk berikan aksi terbaik bertemu Brunei dan dapatkan tiga mata penuh,”
katanya.
Ziad turut mengakui betapa pentingnya kemenangan ke atas Brunei sebagai pemangkin semangat menjelang aksi seterusnya menentang pasukan tuan rumah, Indonesia.
“Kemenangan ini sangat penting sebelum kami menentang Indonesia. Semangat dan keyakinan itu perlu dibina mulai sekarang.”
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai aspek yang perlu diperbaiki, Ziad berkata seluruh pasukan harus belajar daripada kesilapan lalu dan menukarnya menjadi kekuatan.
“Kami tahu banyak perkara perlu dibaiki, terutamanya ketajaman di hadapan gol. Tapi saya yakin dengan barisan penyerang kami. Kami akan ubah peluang menjadi jaringan untuk memastikan kemenangan buat negara.”
Perlawanan menentang Brunei esok dianggap cukup penting bagi menghidupkan semula peluang skuad negara ke peringkat kalah mati.