Man United fokus cari penyerang baharu, Benjamin Sesko jadi tumpuan

107

Selepas ketibaan Bryan Mbeumo yang dijangka diumumkan tidak lama lagi, tumpuan Manchester United kini beralih kepada usaha membawa masuk seorang penyerang baharu untuk memperkuatkan jentera serangan mereka musim ini.

Dipetik dari Skysports, sepanjang jendela perpindahan musim panas ini, United dilaporkan telah menilai beberapa pilihan penyerang No. 9. 


Antara nama yang dikaitkan ialah Ollie Watkins dari Aston Villa, Viktor Gyokeres (Sporting Lisbon), dan Nicolas Jackson (Chelsea), dengan setiap satu sedang dinilai dari segi kesesuaian dan kos perpindahan.

Namun, Benjamin Sesko dari RB Leipzig dilihat sebagai prospek jangka panjang yang sedang diberi perhatian serius oleh pasukan pencari bakat United. 

Pemain muda berbakat itu telah lama berada dalam radar kelab sejak beliau beraksi bersama RB Salzburg, sebelum berhijrah ke Bundesliga.

Arsenal sebelum ini pernah mengadakan perbincangan awal untuk mendapatkan Sesko, tetapi rundingan tersebut tidak berjaya diteruskan.

Dengan pasaran perpindahan masih terbuka, Benjamin Sesko dilihat sebagai calon utama untuk menyertai Red Devils sekiranya United memutuskan untuk memperkukuh barisan serangan mereka sebelum musim baharu bermula.