Kami mahu jadi juara MSC 2025 – Daddyhood

85

Pengasas pasukan Homebois, Daddyhood menyuarakan keyakinan beliau terhadap pasukannya menjelang MSC Esports World Cup 2025 yang bakal membuka tirainya di Riyadh, Arab Saudi pada 23 Julai ini.

Menurut Daddyhood, untuk edisi kali ini beliau meletakkan sasaran tinggi iaitu untuk menjadi juara.


“Kami mahu jadi juara. Tapi secara realistik, kami letakkan sasaran top 4. Dua perlawanan awal sangat penting — ini juga peluang untuk balas dendam kepada Team Flash,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai, Daddyhood memberitahu persiapan Homebois kini sudah mencapai tahap maksimum selepas sesi latihan intensif dan penambahbaikan berterusan dijalankan sejak kelayakan MSC. 

“Saya tengok peningkatan jelas dari minggu ke minggu, dari cara mereka brainstorming strategi hinggalah kepada adaptasi berdasarkan lawan terdahulu.”

Dalam pada itu, Daddyhood juga berkata edisi kali ini lebih manis buat pasukannya apabila Homebois mendapat suntikan semangat menerusi sokongan padu daripada penaja utama. 

“Selepas kami layak, Tabung Haji Travel terus hubungi saya. Kemudian Aeon Bank pun sambung penajaan mereka. Dengan inisiatif itu, seramai 11 orang dapat ditaja ke Riyadh — sembilan oleh EWC dan dua lagi hasil sumbangan penaja.”

Sementara itu, walaupun ada pemain pertama kali mewakili negara di pentas antarabangsa, Daddyhood melihat semangat mereka membara. 

“Tiada tekanan, cuma keterujaan. Mereka ke sana bukan untuk melancong. Mereka nak buktikan sesuatu, untuk Homebois dan untuk keluarga mereka.”

MSC 2025 bukan sekadar kejohanan — bagi Homebois, ini adalah misi yang lebih besar: misi memburu sejarah.