Nafuzi Zain rancang persiapan rapi Harimau Muda hadapi kelayakan Piala Asia B-23
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, Nafuzi Zain kini mengalihkan sepenuh fokus terhadap Kelayakan Piala Asia B-23 2026 selepas Harimau Muda gagal mara ke peringkat separuh akhir Piala Mandiri 2025.
Menurut Nafuzi, skuad negara menimba pengalaman berharga sepanjang kejohanan yang berlangsung di Indonesia itu menjelang kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung dari 1 hingga 9 September depan di Thailand.
“Kejohanan Piala Mandiri beri saya pengalaman penting sebagai jurulatih pasukan kebangsaan. Kita dah nampak tahap lawan, kualiti fizikal dan teknikal mereka. Ia jadi penanda aras untuk kita perbaiki segalanya menjelang kelayakan nanti,”
katanya.
Untuk aksi kelayakan Piala Asia, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan F bersama tiga lawan sukar iaitu Mongolia, Lubnan dan tuan rumah Thailand.
“Thailand sangat kuat, Lubnan pula pasukan fizikal manakala Mongolia semakin meningkat. Kami harus bersedia dari semua aspek fizikal, taktikal dan mental.”
Dalam pada itu, Nafuzi juga menyatakan bahawa walaupun kecewa tidak layak ke separuh akhir Piala Mandiri, beliau berbangga dengan kesungguhan dan komitmen anak buahnya.
“Tempoh persiapan untuk Piala Mandiri sangat singkat, tapi pemain menunjukkan mereka cepat belajar dan memahami apa yang saya mahu dari segi taktikal. Itu satu perkara yang sangat positif.
Majoriti pemain kita hanya beraksi di Piala MFL dan hanya segelintir pernah bermain di Liga Super. Jika dibandingkan dengan pasukan lain yang rata-rata pemainnya bermain di liga profesional, memang ada jurang. Tetapi di sinilah tugas kami untuk tingkatkan tahap mereka.”
Sementara itu, Nafuzi dan barisan kejurulatihan akan menilai semula kekuatan dan kelemahan pasukan sebelum memulakan program latihan intensif untuk persiapan ke kelayakan Piala Asia.
Beliau turut optimis dengan peluang skuad negara sekiranya persiapan dilakukan dengan betul.
“Saya tahu ini pasukan muda. Tapi mereka ada semangat dan kesungguhan. Dengan persediaan yang betul, saya percaya kami mampu beri saingan sengit dan buktikan sesuatu di Thailand nanti.”