‘Off-Season’ bukan alasan! Pemain harus sentiasa jaga kecergasan – Ubaidullah

106

Ketua pasukan Harimau Muda, Ubaidullah Shamsul mengakui kecewa apabila skuad negara gagal mara ke peringkat separuh akhir Piala Mandiri 2025 selepas hanya mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Indonesia semalam.

Menurut Ubaidullah, kekalahan bukan penamat, sebaliknya pengajaran yang perlu dimanfaatkan.


“Kecewa itu pasti, tetapi kita perlu ‘move on’. Kita ambil pengalaman ini sebagai persediaan lebih rapi untuk saingan kelayakan nanti,”

katanya.

Ubaidullah yang mengulas mengenai isu ‘off-season’ yang dikatakan menjadi faktor prestasi pemain tidak berada di tahap terbaik menegaskan bahawa perkara itu bukan alasan bagi seorang pemain profesional.

“Saya rasa ‘off-season’ atau ‘on-season’ itu bukan satu masalah pun sebab kalau kita profesional, kita memang kena sentiasa bersedia dengan persiapan untuk diri sendiri.

Kita tak boleh nak harapkan semua benda orang akan sediakan. Jadi untuk kelayakan Piala Asia ni, saya harap semua sedia dengan baik, jaga diri sendiri.”

Tambahnya lagi, pengalaman di Piala Mandiri juga membuka ruang buat buat pasukan muda ini menimba ilmu di pentas antarabangsa yang mana beliau menyifatkan skuad Harimau Muda sebagai pasukan yang masih muda dan kurang pengalaman, namun telah menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke perlawanan lain.

“Saya sendiri banyak belajar. Bukan sebab saya kapten, saya kena sentiasa perform. Tapi saya lihat semua pemain ‘improve’, cuma dari segi komunikasi dalam padang masih perlu dibaiki.”

Dalam pada itu, Ubaidullah turut mengakui cabaran besar menanti skuad B-23 dalam saingan Kumpulan F yang bakal berlangsung di Thailand menentang tuan rumah, Lubnan dan Mongolia. 

Namun beliau melihat peluang skuad negara untuk ke pusingan akhir masih dalam jangkauan jika persiapan dilakukan dengan terancang.

“Kalau kita dapat latihan intensif dan program yang baik, saya yakin kita mampu layak.”

Sementara itu, skuad Harimau Muda kini dalam misi penting untuk mengulangi kejayaan skuad B-23 sebelum ini yang berjaya layak ke Piala Asia B-23 secara merit pada edisi lalu.