Hasil inkues menunjukkan George Baldock meninggal dunia akibat lemas
Bekas pemain pertahanan antarabangsa Greece, George Baldock, disahkan meninggal dunia akibat lemas dalam satu insiden tragik di kolam renangnya sendiri di Athens, Greece pada 9 Oktober tahun lalu.
Dipetik dari Skysports, inkues yang dijalankan di Mahkamah Koroner Milton Keynes mendapati tiada dadah atau alkohol dalam sistem badannya ketika kejadian berlaku.
Pemain berusia 31 tahun itu baru sahaja menyertai Panathinaikos dan telah beraksi dalam satu perlawanan tiga hari sebelum insiden.
Baldock, yang memulakan kerjaya di MK Dons dan kemudian menyinar bersama Sheffield United, sebelum ini juga mewakili Greece di peringkat antarabangsa.
Menurut laporan inkues, punca kematian adalah lemas dan tiada unsur jenayah ditemui dalam siasatan polis tempatan.
Bedah siasat turut mendedahkan jantung Baldock lebih besar daripada biasa dan ini menyebabkan beliau berisiko mengalami aritmia, iaitu gangguan degupan jantung yang boleh membawa maut.
Kematian Baldock dianggap satu kemalangan. Beliau dijadualkan pulang ke England keesokan harinya untuk menyambut ulang tahun pertama anak lelakinya.
Pelbagai penghormatan diberikan, termasuk di perlawanan Liga Negara-Negara antara England dan Greece, di mana stadium Wembley mengheningkan cipta sebagai tanda penghormatan kepada mendiang.