Sekys akui bermain dalam keadaan sakit, tetap beri segalanya untuk SRG.OG di MSC 2025

138

Pemain pasukan MLBB Malaysia, Selangor Red Giants OG Esports (SRG.OG), Sekys mendedahkan bahawa beliau sebenarnya sedang mengalami masalah kesihatan ketika membantu pasukannya menewaskan wakil Armenia, Virtus.pro, dengan keputusan 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A MSC Esports World Cup 2025.

Menurut Sekys, masalah kesihatannya itu berlaku sebelum berangkat ke Riyadh, Arab Saudi.


“Ramai sangka saya sakit sebab main atas pasir dan sebagainya, tapi sebenarnya saya dah sakit sebelum saya terbang lagi. Saya ingatkan sampai sini akan okey, tapi makin teruk sebab cuaca panas sangat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun tidak berada pada tahap terbaik secara fizikal, Sekys menegaskan beliau tidak mahu menjadikan faktor kesihatan sebagai alasan untuk mengurangkan komitmen terhadap pasukan.

“Saya tetap nak bagi yang terbaik. Tak nak jadikan itu alasan untuk ‘turun’ prestasi.”

Dalam pada itu, mengulas mengenai tekanan untuk mempertahankan gelaran juara MSC, Sekys tidak menafikan ada sedikit rasa gementar pada permulaan, namun kemenangan ke atas Virtus.pro memberi lonjakan semangat.

“Sebelum mula tu, ada juga rasa pressure… takut tak ‘perform’ dalam match pertama. Tapi lepas menang first series tadi, kita rasa dapat momentum dan keyakinan.”

Sekys turut mengakui pasukannya melakukan beberapa kesilapan kecil dalam siri tersebut, namun melihatnya sebagai ruang penambahbaikan menjelang aksi seterusnya.

“Kita kalah satu game tu, memang terasa sikit. Tapi tak lama pun, dalam 30 saat ke satu minit. Lepas tu fokus balik. Untuk next game, kami kena lebih tajam.”

Sementara itu, dengan semangat juang yang ditunjukkan walaupun dalam keadaan kurang sihat, jelas SRG.OG mempunyai tonggak berpengalaman dan bersemangat tinggi dalam misi mempertahankan kejuaraan MSC mereka.