MFL belum putuskan pembahagian tiket Piala Sumbangsih JDT vs Selangor, siapkan VAR Remote untuk pasukan Borneo

565

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd memaklumkan bahawa isu pembahagian tiket bagi aksi tumpuan Piala Sumbangsih 2025/26 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC masih belum dimuktamadkan. 

Menurut Shazli, satu mesyuarat rasmi akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum.


“Belum ada mesyuarat lagi. Tapi dalam masa terdekat kita akan bermesyuarat, dan selepas itu baru kita akan maklumkan mengenai pembahagian tiket bagi perlawanan Sumbangsih nanti,” 

katanya.

Perlawanan pembukaan bagi saingan Liga Super musim ini akan sekali lagi menyaksikan dua pasukan gergasi Harimau Selatan dan Gergasi Merah Kuning akan turun merebut trofi berprestij itu yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Dalam pada itu, Shazli turut mengulas mengenai pelaksanaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi perlawanan yang melibatkan pasukan dari Borneo. 

Shazli berkata pihak MFL kini sedang membangunkan sistem remote VAR yang akan dikendalikan dari datacenter di Kuala Lumpur tanpa perlu menghantar kru teknikal ke lokasi perlawanan di Sabah (Sabah FC), Sarawak (Kuching City FC) dan Brunei (DPMM FC).

“Pasukan VAR akan ke Brunei pada 1 hingga 3 Ogos bagi menjalankan ujian teknikal dan sambungan untuk memastikan sistem ini berfungsi sebelum musim bermula.”

Sementara itu, Shazli turut menyatakan bahawa persiapan bagi sepak mula Liga Super 2025/26 berjalan lancar dengan semua pasukan kini dalam proses melengkapkan dokumentasi FFP (Financial Fair Play) sebagai syarat pendaftaran pemain dan pegawai.

MFL juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas hampir semua venue, kecuali satu stadium di Terengganu yang dijadualkan untuk inspeksi hujung bulan ini kerana kerja penambahbaikan padang dan sistem saliran masih berjalan.