Pemansuhan Piala MFL untuk beri peluang pemain muda bermain dalam skuad utama
Pemansuhan Piala MFL bagi musim 2025/26 merupakan langkah strategik oleh Malaysian Football League (MFL) yang mahu menyaksikan perubahan ketara dalam pendekatan pembangunan bakat muda di Malaysia.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, keputusan ini dibuat bukan kerana isu teknikal atau logistik, tetapi demi masa depan bola sepak negara.
Shazli menegaskan bahawa pembatalan kejohanan itu bertujuan untuk membuka lebih banyak ruang kepada pemain muda beraksi dalam skuad utama di Liga Super dan bukan sekadar kekal bermain di peringkat pembangunan seperti Piala Presiden dan Piala Belia.
“Salah satu faktor utamanyalah untuk memastikan pemain-pemain muda ini mendapat peluang lebih banyak bermain di Liga Super,”
katanya.
Belia juga berkata pihaknya tidak akan memperkenalkan kuota mandatori untuk pemain bawah 23 tahun dalam senarai kesebelasan utama, sebaliknya pihaknya akan mengambil pendekatan untuk memantau terlebih dahulu untuk musim ini.
“Kita perlu menilai sama ada pemain-pemain muda benar-benar diberi peluang dan ruang untuk beraksi di liga-liga utama bersama pasukan-pasukan utama.”
Tambahnya lagi, MFL juga tidak bercadang untuk menghidupkan semula Piala MFL buat masa ini dan mahu laluan pembangunan pemain muda akan terus berteraskan kepada struktur sedia ada iaitu Piala Presiden dan Piala Belia
Dalam pada itu, Shazli turut memberi perhatian terhadap isu jadual perlawanan membabitkan beberapa pasukan yang terkesan dengan kekangan waktu bermain pada bulan Ramadan dan waktu malam.
Jelasnya, pihak MFL telah memaklumkan lebih awal kepada beberapa kelab seperti Kelantan The Real Warriors FC, DPMM FC dan Imigresen FC mengenai keperluan untuk menamakan venue alternatif.
Ini susulan kekangan yang timbul, contohnya stadium di Kelantan dan Brunei tidak dapat digunakan sepanjang Ramadan, manakala venue Imigresen FC di Batu Kawan pula tidak boleh bermain pada waktu malam susulan lampu limpah tidak menepati kriteria yang diperlukan.
“Jadi kami minta mereka kenal pasti venue alternatif yang sesuai untuk aksi bulan Ramadan nanti. Sebagai contoh, venue di Kuantan masih boleh digunakan — mungkin Kelantan boleh pertimbangkan bermain di sana. DPMM pula boleh pertimbang venue di Lembah Klang, begitu juga Imigresen.”
Beliau menegaskan pihak MFL tidak menggalakkan pasukan bermain terlalu banyak perlawanan di gelanggang lawan secara berturut-turut kerana ia akan menjejaskan keseimbangan format “home and away”.
Justeru, penyelesaian ideal ialah pasukan terlibat mencari venue tuan rumah alternatif yang sesuai.
Perbincangan dengan kelab sudah dimulakan lebih awal agar segala pelarasan dapat dimuktamadkan sebelum tarikh akhir penjadualan rasmi pada 15 Ogos ini.