Cristhian Mosquera sah sertai Arsenal
Arsenal secara rasmi telah melengkapkan perpindahan pertahanan muda Sepanyol, Cristhian Mosquera dari Valencia dengan yuran perpindahan sekitar €15 juta (kira-kira £13 juta).
Dipetik dari BBC, pemain berusia 21 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun bersama The Gunners, dengan pilihan lanjutan selama setahun lagi.
Mosquera, yang boleh bermain sebagai bek tengah atau bek kanan, akan menggantikan tempat Takehiro Tomiyasu yang menamatkan kontrak secara persetujuan bersama awal bulan ini.
Pemain antarabangsa Sepanyol Bawah-21 itu memulakan kerjayanya di Valencia pada usia 12 tahun dan mencipta sejarah sebagai bek tengah termuda yang beraksi dalam pasukan utama kelab itu pada 2022.
Musim lalu, Mosquera menjadi pemain utama Valencia apabila beraksi penuh dalam 37 daripada 38 perlawanan La Liga, membantu kelab itu menamatkan musim di tangga ke-12.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkannya sebagai pemain dengan “bakat menarik dan potensi besar”, manakala Pengarah Sukan, Andrea Berta memuji keserbaannya sebagai pertahanan.
“Saya tidak boleh lepaskan peluang ini. Arsenal adalah kelab besar dan bersejarah. Saya mahu terus belajar dan berkembang di sini,” kata Mosquera.
Mosquera dijadual menyertai jelajah pramusim Arsenal ke Asia, yang termasuk perlawanan menentang Newcastle United di Singapura dan Tottenham Hotspur di Hong Kong.