Selangor FC perlu mantapkan persiapan menjelang aksi Piala Sumbangsih
Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menegaskan bahawa pasukannya masih belum berada pada tahap terbaik menjelang aksi pembuka tirai Liga Super 2025/26, iaitu Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), namun tetap optimis dengan proses persiapan yang sedang berlangsung.
Menurut Kinoshi, beliau tidak berpuas hati dengan prestasi pasukannya selepas mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan pada perlawanan pramusim menentang Asia Warriors FC di Stadium MBPJ.
“Keputusan hari ini tidak cukup baik. Saya tidak gembira. Malah, saya sangat tidak gembira. Kami perlu adakan latihan yang lebih kuat dan lebih serius lagi,”
katanya.
Walaupun mengakui situasi pasukan masih dalam proses pembentukan, termasuk memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi, jurulatih dari Jepun itu menegaskan bahawa pasukannya mesti membuat peningkatan segera.
“Langkah demi langkah, detik demi detik, kami mesti terus perbaiki. Kami perlu lebih tajam di bahagian serangan dan tunjukkan lebih semangat di atas padang.”
Dalam pada itu, Kinoshi turut memaklumkan beberapa pemain utama masih belum cergas sepenuhnya, termasuk Alvin yang baru pulih daripada selesema dan pemain import baharu, Zack, yang baru tiba empat hari lalu.
Pada masa sama beliau turut menyambut baik kemasukan Kevin Deeromram dan akan menilai kecergasannya dalam sesi akan datang.
“Dua minggu berbaki sebelum menentang JDT – sama ada cukup atau tidak, kami mesti bersedia. Kami di landasan yang betul, tetapi perlu lebih pantas.”
Sementara itu, perlawanan Piala Sumbangsih dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), dan bakal menjadi medan sebenar untuk menguji kekuatan Gergasi Merah musim ini.