Keisuke Honda bangga aksi Asia Warriors FC, seru pemain muda Malaysia berani keluar negara
Lagenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda, menyifatkan keputusan seri 0-0 menentang Selangor FC sebagai satu pencapaian membanggakan buat pasukan Asia Warriors FC, dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium MBPJ malam tadi.
Menurut Honda, perlawanan tersebut bukan mudah memandangkan Selangor turun dengan skuad muda yang lebih bertenaga dan berkualiti tinggi.
“Selangor FC lebih segar, dengan ramai pemain muda yang bagus. Tapi kami bertahan dengan baik, tidak beri mereka ruang dan masa. Kami juga hampir mencuri kemenangan menerusi satu sepakan percuma,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Honda, keputusan seri itu merupakan sebahagian daripada perancangan pasukannya, sambil menyatakan penghargaan terhadap para pemain lagenda yang menyertai skuad Asia Warriors.
Dalam pada itu, mengulas masa depan pasukan, Honda berkata mereka kini sedang merancang untuk mendapatkan penajaan dan menjalankan aktiviti kutipan dana bagi mengukuhkan projek ini.
“Kami tunjukkan kepada ramai bahawa Asia Warriors FC ada masa depan. Jadi kami akan teruskan langkah ini.”
Sementara itu, Honda turut menitipkan pesanan kepada pemain muda Malaysia untuk terus bekerja keras dan berkelana ke luar negara.
“Berlatihlah bersungguh-sungguh dan cubalah keluar bermain di negara lain.”