Manchester, Newcastle United berebut dapatkan Benjamin Sesko

123

Dua kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Newcastle United kini dilaporkan sedang bersaing hebat untuk mendapatkan penyerang muda berbakat milik RB Leipzig, Benjamin Sesko.

Penyerang berusia 22 tahun dari Slovenia itu tampil cemerlang musim lalu apabila berjaya menjaringkan 21 gol dalam 45 penampilan bersama kelab Jerman tersebut, sekaligus menarik minat beberapa kelab elit Eropah.


Manchester United dilihat sangat berminat untuk membawa Sesko ke Old Trafford sebagai sebahagian daripada usaha mereka memperkuatkan barisan serangan.

Kehadiran Rasmus Højlund musim lalu belum cukup memuaskan, dan Sesko dianggap calon ideal untuk mengisi kekosongan di posisi penyerang tengah.

Difahamkan, United telah memulakan rundingan awal bersama pemain itu dan kelabnya.

Namun begitu, seteru liga, Newcastle United tidak berdiam diri apabila dikatakan turut berminat untuk mendapatkan Sesko sebagai pengganti berpotensi kepada Alexander Isak, yang dikaitkan dengan perpindahan keluar.

Newcastle dikatakan sudah bersedia menawarkan kontrak jangka panjang serta pakej gaji yang lumayan untuk memujuk pemain muda itu menyertai mereka di St. James’ Park.

Sebelum ini, satu lagi kelab England, Arsenal sebenarnya pernah berada di barisan hadapan untuk mendapatkan Sesko lebih awal musim panas ini.

Namun, The Gunners akhirnya menarik diri daripada rundingan selepas mendapati yuran perpindahan yang diminta oleh Leipzig terlalu tinggi, dipercayai melebihi €70 juta pada waktu itu.

Keputusan itu membuka ruang kepada kelab lain, dan sejak itu, RB Leipzig dikatakan bersedia untuk menurunkan sedikit harga ke sekitar €60–65 juta bagi memudahkan perpindahan berlaku.