AFL tangguh dua aksi awal Kelantan KRW susulan isu sekatan pemain

214

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan bahawa Kelantan The Real Warriors (KRW) telah dikenakan sekatan perpindahan pemain (transfer ban) oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), susulan isu berkaitan entiti terdahulu, TRW Kelantan FC.

Menurut Yusoff, FIFA menganggap KRW sebagai kesinambungan kepada TRW kerana pemilikan antara kedua-dua kelab tersebut mempunyai kaitan. 


Oleh itu, KRW diberikan tempoh sehingga 14 Ogos oleh FIFA untuk memberikan maklum balas berhubung isu tersebut.

“Kelantan The Real Warriors (KRW) telah menerima surat daripada FIFA berhubung sekatan perpindahan pemain (transfer ban) yang pada asalnya dikenakan kepada TRW. Namun, disebabkan KRW dianggap sebagai entiti yang sama – berikutan kaitan pemilikan antara kedua-dua kelab – FIFA melanjutkan sekatan tersebut kepada KRW. Susulan itu, KRW diberikan tempoh sehingga 14 Ogos untuk menjawab dakwaan dan tanggapan FIFA, dan difahamkan mereka telah mengambil langkah sewajarnya untuk memberikan maklum balas.

Pihak AFL memahami bahawa KRW tidak dibenarkan mendaftarkan pemain selagi isu ini tidak diselesaikan. Ini menjejaskan penyertaan mereka menjelang sepak mula Liga A1 pada 2 Ogos memandangkan mereka tiada pemain berdaftar untuk diturunkan.”

katanya.

Yusoff bagaimanapun berkata pihak AFL mengambil pendekatan fleksibel dengan memberi kelonggaran kepada KRW kerana mereka telah membuat persiapan rapi termasuk menandatangani pemain dan melantik jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti.

“Kami tangguhkan dua perlawanan awal KRW dan berharap mereka dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin. Slot pendaftaran pemain masih dibuka sehingga 25 Ogos bagi pemain tempatan dan 31 Ogos untuk import.”

Sementara itu, Yusoff turut mengesahkan penyertaan kelab dari Korea Selatan, Seoul Phoenix FC dalam Liga A1 musim ini.

Beliau berkata sebahagian daripada pemain pasukan itu sudah pun tiba di Malaysia dan kini sedang bersiap sedia sebelum sepak mula Liga A1 bermula.

“Senarai nama awal pemain sudah dikemukakan dan dijangka lengkap sepenuhnya sebelum 30 Julai. Mereka juga telah menamatkan rundingan berkenaan venue rasmi.” 

Liga A1 Semipro pada musim 2025/26 dilihat semakin menarik dengan penyertaan bukan sahaja beberapa pasukan berasaskan negeri tetapi juga pasukan antarabangsa yang akan memeriahkan saingan liga sekaligus memberi nilai tambah pada liga.