Isak belum terima tawaran rasmi, Newcastle mahu kekalkan penyerang utama

99

Penyerang sensasi Sweden, Alexander Isak masih belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab, menurut pengurus Newcastle United, Eddie Howe. 

Dipetik dari BBC, walaupun Isak dikaitkan dengan perpindahan musim panas, termasuk minat berterusan dari Liverpool, Howe menegaskan bahawa pemain itu masih milik Newcastle dan terikat kontrak.


Isak, yang tidak menyertai jelajah pramusim pasukan ke Asia kerana dilaporkan mengalami kecederaan paha ringan, difahamkan sedang meneliti opsyen masa depan. 

Walau bagaimanapun, Howe menjelaskan bahawa kelab belum menerima sebarang bidaan rasmi bagi pemain berusia 25 tahun itu.

“Dia masih pemain kami. Saya mahu dia kekal, tapi itu bukan sepenuhnya di bawah kawalan saya,” kata Howe dalam sidang media di Seoul.

Isak menyertai Newcastle dari Real Sociedad pada 2022 dengan nilai sekitar £60 juta dan masih berbaki tiga tahun dalam kontraknya. 

Musim lalu, beliau menjaringkan 27 gol dalam semua kejohanan, menjadikan jumlah keseluruhan 62 gol daripada 109 penampilan bersama The Magpies.

Sementara itu, Newcastle menegaskan bahawa Isak bukan untuk dijual.