James Trafford kembali ke Manchester City dengan rekod perpindahan baharu
Manchester City telah mengesahkan kepulangan penjaga gol muda, James Trafford daripada Burnley dalam satu perpindahan yang mencatatkan rekod baharu untuk penjaga gol British.
Dipetik dari BBC, satu sumber City menyebut nilai perpindahan berjumlah £27 juta termasuk tambahan (add-ons), manakala Burnley pula meletakkan angka keseluruhan sekitar £31 juta beserta klausa jualan semula.
Trafford, 22, adalah produk akademi City yang menyertai Burnley pada Julai 2023 dengan nilai mencecah £19 juta.
Sepanjang musim lalu, beliau tampil cemerlang apabila membantu Burnley kembali ke Premier League dengan mencatat 29 ‘clean sheet’ dalam 45 perlawanan kejuaraan, sekali gus disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Musim ini.
City mengambil keputusan untuk mengaktifkan klausa beli semula selepas Newcastle mengemukakan bidaan bernilai £27 juta.
Trafford memilih untuk kembali ke Etihad, dan telah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama pilihan lanjutan satu tahun.
Perpindahan ini bukan sahaja menjadi rekod baharu kelab Burnley, tetapi juga menandakan Trafford sebagai penjaga gol British termahal dalam sejarah.
Beliau akan memakai jersi nombor satu bersama City.