Malayan Tigress B-20 siap hadapi cabaran Kelayakan Piala Asia Wanita – Cameron Ng

120

Ketua jurulatih skuad Malayan Tigress B-20, Cameron Ng menyatakan keyakinan terhadap kemajuan persiapan pasukannya menjelang Kelayakan Piala Asia Wanita B-20. 

Menurut Cameron, minggu pertama kem latihan berlangsung dengan cukup lancar dengan pemain-pemain memperlihatkan semangat dan komitmen tinggi.


“Latihan berjalan dengan lancar. Semua pemain menunjukkan semangat tinggi, fokus dan memberikan 100% dalam setiap sesi. Mereka cuba aplikasikan apa yang kami ajarkan dan itu sangat positif,”

katanya.

Tambahnya, bagi minggu kedua persiapan, fokus utama diberikan kepada aspek taktikal serta penyesuaian dengan jadual padat kejohanan. 

“Kami tekankan dua perkara – bagaimana kami mahu bermain menentang pasukan dalam kumpulan, serta membiasakan pemain dengan format kejohanan sebenar; bermain, rehat, dan bermain semula. Jadi kami latih mereka dalam suasana intensiti seperti itu.”

Dalam pada itu, Cameron juga memberitahu bahawa pasukan juga telah mengatur tiga perlawanan persahabatan, termasuk dua aksi tertutup menentang Singapura dan sebuah kelab tempatan. 

Jelasnya, perlawanan tersebut penting untuk menilai tahap kesiapsiagaan pemain dalam situasi sebenar.

Berkenaan lawan seperti Jepun dan Iran, Cameron mengakui kekuatan mereka dari segi ranking dan pengalaman, namun tetap optimis dengan peluang anak buahnya. 

“Jika kita tidak berani mencabar pasukan yang lebih kuat, kita tidak akan berkembang. Kelebihan kita adalah menjadi tuan rumah, jadi saya harap penyokong hadir beri semangat.”

Sementara itu, Cameron nyata berpuas hati dengan keserasian antara pemain baharu dan lama, yang saling membantu mewujudkan semangat pasukan yang utuh. 

“Tiada kelompok asing dalam pasukan. Semua pemain bekerjasama dan saling menyokong.”