Zamsaham letak harga ‘diskaun’ RM300,000 untuk TRW Kelantan

133

Pemilik TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan yang timbul berkaitan pemilikan kelab itu serta dakwaan kononnya beliau enggan melepaskan TRW kepada pihak lain.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Zamsaham menegaskan bahawa beliau tidak pernah menghalang penjualan kelab, malah telah menawarkan pegangan secara percuma dan juga pada harga diskaun kepada pihak yang berminat.


Beliau menyatakan bahawa satu pihak yang berminat iaitu GSK yang diwakili oleh seseorang yang bernama Nik mahu membeli dan mengambil pegangan sepenuhnya, namun berdiam diri apabila mendengar tawarannya.

“Perbincangan bermula dari RM3 juta, akhirnya saya setuju jual majoriti pegangan saham pada nilai RM300,000. Namun, tiada jawapan daripada En. Nik selepas itu,”

jelas beliau.

Tambahnya lagi, beliau telah beberapa kali menghubungi individu berkenaan untuk menyelesaikan urusan bayaran tetapi tidak menerima sebarang maklum balas.

Sebaliknya, kata Zamsaham, pihak terbabit telah bertindak menubuhkan kelab baharu bernama Kelantan Red Warriors (KRW) dengan terus berurusan bersama KAFA dan AFL — langkah yang menurutnya menyumbang kepada kekeliruan di kalangan peminat.

“KRW ingin menjadi TRW dengan nama dan logo yang dimiliki rasmi oleh TRW. Kekeliruan ini tidak akan timbul sekiranya AFL dan FAM menggubal undang-undang khusus berkaitan penggunaan nama,”

Zamsaham turut menafikan bahawa beliau dihubungi oleh bekas penolong jurulatih kelab, Pol Corpas, berkaitan sebarang tuntutan dan tidak mengetahui sebarang laporan yang dibuat olehnya itu ke FIFA.

Menutup kenyataannya, Zamsaham menyeru agar orang ramai mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak sebelum membuat kesimpulan.