Manchester United pertimbang jual Rasmus Hojlund demi Benjamin Sesko
Manchester United dilaporkan bersedia untuk melepaskan penyerang muda Denmark, Rasmus Hojlund, dengan harga sekitar £30 juta bagi memberi laluan kepada sasaran baharu, Benjamin Sesko dari RB Leipzig.
Dipetik dari BBC, Hojlund, 21, yang menjaringkan dua gol ketika menentang Bournemouth dalam aksi pra-musim di Chicago baru-baru ini, menyatakan niatnya untuk terus kekal di Old Trafford.
Namun pihak pengurusan kelab sedang mempertimbangkan masa depannya jika Sesko menyertai skuad.
Difahamkan, Sesko turut menarik minat Newcastle United, tetapi tiada persetujuan setakat ini antara mereka dan Leipzig.
Pada masa sama, laporan menyebut Sesko lebih berminat untuk ke Manchester United.
Walaupun kelab menegaskan mereka boleh membuat pembelian tanpa perlu menjual pemain terlebih dahulu, mereka tetap perlu menjaga pematuhan terhadap Peraturan Keuntungan dan Kelestarian Liga Perdana Inggeris (PSR).
Kehadiran Sesko dijangka akan mengehadkan peluang Hojlund dalam skuad utama.
Jika dijual dengan harga £30 juta, United bakal menanggung kerugian memandangkan nilai buku Hojlund kini mencecah £43 juta.
United juga telah berbelanja hampir £130 juta musim ini untuk Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha.