KDA FC bermula langkah kanan di Liga A1, Azzmi puji komitmen pemain

124

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Azzmi Abd Aziz melahirkan rasa syukur dan bangga selepas pasukannya meraih kemenangan 1-0 ke atas Machan FC dalam aksi pembukaan Liga A1 Semipro musim 2025/2026.

Menurut Azzmi, kemenangan itu cukup bermakna memandangkan skuad KDA dibentuk dalam tempoh singkat, dengan sebahagian besar pemain terdiri daripada bekas skuad Piala Presiden, Piala Belia dan bawah 23 tahun.


“Kita tahu perjalanan masih jauh, tapi hari ini mereka dah buktikan mereka mampu. Tahniah kepada pemain kerana bekerja keras untuk 3 mata hari ini,” 

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan, Azzmi mengakui cuaca panas memaksa pasukannya mengubah pendekatan di babak kedua selepas menjaringkan gol awal.

“Kita tidak mampu untuk terus high pressing sepanjang masa. Jadi kita kekalkan struktur bertahan dan disiplin taktikal. Itu jadi kunci kemenangan.”

Dalam pada itu, Azzmi menekankan aspek serangan perlu dipertingkatkan, terutamanya dari segi ‘key decision making’ di kawasan serangan.

“Pemain muda kita baru bermain di pentas seperti ini, jadi saya faham mereka masih menyesuaikan diri. Tapi saya percaya mereka akan semakin yakin dari masa ke masa.”

Sementara itu, Azzmi juga menyifatkan sokongan penyokong Kedah di stadium memberi motivasi luar biasa kepada anak buahnya.

“Atmosfera hari ini sangat luar biasa. Saya tahu budaya bola sepak Kedah memang kuat. Semoga lebih ramai penyokong datang pada perlawanan akan datang.”