FC Spicegals ukir sejarah muncul juara RSC International Soccer 7s
Kelab bola sepak wanita, FC Spicegals, mencipta sejarah manis apabila dinobatkan sebagai juara sulung RSC International Soccer 7s selepas menewaskan Selangor FC 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Kelab DiRaja Selangor, Bukit Kiara, pada Ahad.
Spicegals, yang dibarisi pemain dari skuad Liga Wanita FAS, mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan iaitu dari peringkat kumpulan hingga ke final dan kejayaan ini dianggap sebagai persediaan luar musim terbaiksebelum kempen baharu bermula.
Menurut Pengurus Besar FC Spicegals, Aisha Wilkinson, kemenangan ini bukan sekadar satu kejayaan, malah membuktikan bahawa kelab ini berada di landasan yang betul untuk menjadi pencabar serius pada masa depan.
“Kami hanya ada satu matlamat apabila menyertai kejohanan ini – untuk bergelar juara. Terima kasih kepada pemain yang bekerja keras, dan kejayaan menewaskan Selangor FC di final setelah tewas 0-3 kepada mereka di peringkat kumpulan membuktikan semangat juang tinggi pasukan ini,”
ujar Aisha.
Dalam kejohanan yang disertai lapan pasukan itu, Spicegals ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Singapore Cricket Club, KDH Morning, dan Selangor FC.
Mereka mara ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan sebelum melakar kemenangan bergaya di pentas akhir.
Sebagai juara, FC Spicegals membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi kejuaraan. Aisha turut menyeru agar bola sepak wanita terus diberikan sokongan, penajaan dan peluang bersaing secara kompetitif, setanding dengan bola sepak lelaki.
“Bola sepak bukan untuk lelaki sahaja. Ramai pemain wanita berbakat di luar sana dan mereka wajar diberi platform untuk menyerlah.”
Ditubuhkan pada tahun 2020, FC Spicegals sebelum ini muncul juara Liga Super Wanita Kuala Lumpur 2023 serta mara ke separuh akhir Liga Super Wanita FAS 2023 dan suku akhir edisi 2024.
Selepas kejayaan ini, Spicegals kini memberi tumpuan kepada cabaran dalam Liga Super Wanita Kuala Lumpur, Piala Borneo dan kejohanan wanita di Singapura.