Malayan Tigress B-20 sasar Persembahan bermutu, bukan sekadar keputusan – Cameron Ng

103

Ketua jurulatih skuad Malayan Tigress Bawah 20 Tahun, Cameron Ng, menyatakan keyakinan terhadap tahap kesiapsiagaan pasukannya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 yang akan membuka tirainya Rabu ini.

Menurut Cameron, para pemain telah melalui tempoh latihan intensif selama dua minggu dengan komitmen yang tinggi dalam setiap sesi. 


“Saya rasa persiapan untuk kem kali ini berjalan dengan baik. Kami telah menjalani latihan yang mantap, para pemain bersungguh-sungguh, memberikan 100% dalam setiap sesi latihan dan memahami taktikal yang ingin kami terapkan.

Dari segi kecergasan dan kecederaan pula, isu yang timbul sangat minimum. Jadi, saya percaya kami telah bersedia sebaik mungkin selepas dua minggu latihan dan saya sangat menantikan kejohanan ini,”

katanya.

Menyentuh soal kualiti pasukan, Cameron mengakui skuad kali ini antara yang terbaik dimiliki negara. 

Namun, beliau mengingatkan bahawa kekuatan dalaman negara tidak semestinya meletakkan mereka setanding di pentas antarabangsa. 

“Saya setuju bahawa kami mempunyai skuad yang sangat baik. Tetapi hanya kerana kita ada skuad terbaik di negara kita, tidak bermakna kita sudah setanding di peringkat dunia. Namun, saya sangat yakin bahawa pemain saya akan memberikan 100% setiap kali turun ke padang. Kami telah berbincang, bahawa kami akan bermain tanpa penyesalan.” 

Dalam pada itu, Cameron turut menyeru penyokong tempatan untuk hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan muda negara. 

Beliau percaya dengan sokongan tambahan daripada penyokong, para pemain tidak akan mengecewakan dari segi komitmen dan semangat.

Mengulas mengenai strategi, Cameron mendedahkan bahawa pasukannya telah membuat kajian rapi terhadap lawan dan merancang taktikal berbeza untuk setiap perlawanan, walaupun liputan terhadap pasukan remaja agak terhad.

Cameron juga menekankan pentingnya perancangan jangka panjang dalam pembangunan skuad, termasuk penggabungan pemain B16 dan baharu warisan. 

“Kita perlu sentiasa fikir siapa akan menggantikan pemain utama apabila mereka naik ke skuad senior.” 

Sementara itu, ditanya mengenai sasarannya pada kelayakan, Cameron tidak meletakkan tekanan besar, tetapi mahu anak buahnya fokus kepada prestasi. 

“Kalau kami bermain dengan baik, keputusan akan menyusul.”