Benjamin Sesko lebih cenderung sertai Manchester United
Saga perpindahan Benjamin Sesko semakin menghampiri penghujungnya apabila penyerang sensasi RB Leipzig itu kini dilaporkan lebih cenderung untuk menyertai Manchester United berbanding pencabar utamanya, Newcastle United.
Dipetik dari Sky Sports News, walaupun belum ada persetujuan rasmi antara kelab, Manchester United kekal dalam rundingan dengan Leipzig selepas mengemukakan tawaran bernilai £65 juta bersama tambahan £8.9 juta.
Newcastle pula telah membuat tawaran kedua bernilai £69.7 juta – lebih tinggi daripada United – namun Sesko dikatakan lebih berminat ke Old Trafford.
RB Leipzig kini sedang menilai kedua-dua tawaran dari aspek struktur dan nilai keseluruhan, manakala Sesko sendiri dilaporkan sudah memaklumkan kepada rakan sepasukannya bahawa dia bakal meninggalkan kelab.
Beliau juga tidak menyertai aksi pramusim menentang Atalanta dan hanya menjalani latihan secara berasingan.
Perpindahan Sesko ke United dijangka memberi kesan langsung kepada situasi penyerang Newcastle, Alexander Isak.
The Magpies hanya bersedia melepaskan Isak jika berjaya mendapatkan pengganti setaraf, dengan Liverpool sebelum ini pernah menawar £110 juta namun ditolak.