Guam mahu lebih daripada sekadar penyertaan di kelayakan Piala Asia B-20

116

Pasukan bola sepak wanita kebangsaan Guam B-20 tampil dengan misi tersendiri menjelang saingan kelayakan Piala Asia Wanita Bawah 20 Tahun yang bakal membuka tirainya hari ini. 

Menurut ketua jurulatih Kimberly Sherman, beliau menjangkakan perlawanan bertaraf tinggi sekaligus penting dalam membina hala tuju jangka panjang buat pasukannya.


“Perlawanan ini dan kejohanan ini sendiri merupakan langkah penting dalam membina hala tuju jangka panjang pasukan kebangsaan kami.

Jadi, kami bukan sekadar datang untuk menyertai. Kami mahu menguji diri dalam perlawanan sengit dan situasi tekanan tinggi. Kami berhasrat untuk kekal komited dengan gaya permainan kami sendiri dan bersaing dengan mentaliti yang sama tanpa mengira siapa lawannya,”

katanya.

Jelas Sherman lagi, beliau melihat pengalaman menentang pasukan gergasi seperti Jepun dan pasukan lain akan membantu mereka membina asas untuk kejayaan masa depan pasukan senior mereka.

Sherman menegaskan biarpun dengan sumber terhad dan tiada liga profesional di negaranya, mereka komited untuk bermain mengikut identiti tersendiri tanpa mengira kekuatan pasukan lawan.

Dalam pada itu, kapten pasukan, Lexi Taitague pula menyifatkan pengalaman mewakili Guam sebagai sesuatu yang amat membanggakan. 

“Saya rasa dengan semua ini, kami ambil peluang ini untuk menunjukkan imej terbaik bagi Guam. Kami teruja untuk setiap perlawanan dan akan memberikan segalanya untuk menunjukkan siapa kami sebenarnya.”