Perbualan dengan Presiden LAFC ubah haluan karier Son Heung-min

96

Son Heung-min akhirnya menyertai kelab Major League Soccer (MLS), Los Angeles FC (LAFC), selepas 10 musim gemilang bersama Tottenham Hotspur. 

Dipetik dari BBC, perpindahan ini bukan sahaja mencipta sejarah sebagai yuran perpindahan tertinggi dalam MLS – melebihi £20 juta – tetapi juga satu perubahan besar dalam karier pemain Korea Selatan berusia 33 tahun itu.


Dalam satu sidang media, Son mendedahkan bahawa LAFC bukan pilihan pertamanya, namun satu perbualan dengan presiden bersama kelab, John Thorrington, telah “mengubah hati dan fikirannya”. 

Son kini menandatangani kontrak selama dua tahun bersama LAFC, dengan pilihan lanjutan dua tahun tambahan.

“Secara jujur, ini bukan destinasi impian saya. Tapi selepas perbualan pertama dengan John, saya tahu inilah tempatnya. Kini saya di sini, saya sangat gembira dan teruja,” katanya.

Bekas kapten Spurs itu hadir menyaksikan kemenangan 2-1 LAFC ke atas Tigres UANL dalam aksi Leagues Cup pada Selasa lalu. 

Son turut berkata beliau mahu membantu kelab menulis sejarah baru dan memenangi trofi.

Son meninggalkan Tottenham selepas menjaringkan 173 gol dalam 454 penampilan, termasuk membantu kelab memenangi Liga Europa musim lalu. 

Kini, beliau bakal menjadi nadi utama LAFC bersama bekas rakan sepasukan, Hugo Lloris.