Kami akan tampil lebih kuat menentang Jepun nanti – Dhiaa Addin
Ketua pasukan Malayan Tigress B-20, Nur Dhiaa Addin kekal positif biarpun tewas 3-0 kepada Iran pada perlawanan pertama Kumpulan F kelayakan Piala Asia Wanita B-20 semalam.
Menurut Dhiaa, banyak pengajaran berharga yang berjaya diperoleh daripada perlawanan tersebut.
“Bukan keputusan yang kami mahukan, memang bukan permulaan yang baik. Tapi kami banyak belajar daripada cara permainan Iran yang lebih berpengalaman dan mempunyai fizikal yang berbeza. Sebenarnya Malaysia juga ada banyak peluang, cuma kami tak dapat manfaatkannya menjadi gol,”
katanya.
Mengulas mengenai posisinya bermain di bek kiri pada awal perlawanan sebelum kembali ke posisi asal di sebelah kanan pada separuh masa kedua berkata beliau tiada masalah untuk bermain di mana-mana posisi.
Jelas Dhiaa, beliau sentiasa bersedia untuk bermain di mana-mana posisi yang dimahukan oleh ketua jurulatih demi pasukan.
Dalam pada itu, biarpun tewas namun peluang skuad kendalian Cameron Ng masih lagi terbuka untuk menjadi antara tiga naib juara terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir.
Skuad negara bagaimanapun akan berdepan sebuah lagi pasukan gergasi Jepun pada aksi kedua dan Dhiaa menyeru rakan sepasukan untuk fokus dan bangkit semula.
“Kami akan buat sehabis baik dan fokus kepada perlawanan seterusnya. Apa yang penting, kami lupakan perlawanan Iran dan tampil lebih kuat menentang Jepun nanti.”