UMA Racing & RCB perkukuh sokongan terhadap Hakim Danish dengan transformasi Yamaha Y15ZR

103

MKA Group melalui jenama UMA Racing terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan bakat muda tanah air apabila memperkenalkan sebuah Yamaha Y15ZR yang ditransformasikan khas buat pelumba muda berbakat, Hakim Danish. 

Inisiatif ini membawa slogan bermakna – “Powered by UMA, leveled up by RCB, trusted by Danish.”


Transformasi ini bukan sekadar penjenamaan, malah merupakan simbol sokongan UMA Racing dan RCB terhadap impian anak muda Malaysia. 

Dengan penyertaan aksesori premium daripada RCB dan peningkatan kuasa serta kawalan menerusi alat ganti prestasi tinggi UMA Racing, jentera ini menyerlahkan keupayaan sebenar produk tempatan yang dihasilkan dengan teknologi kejuruteraan Malaysia.

Hakim Danish, yang kini semakin mencipta nama dalam arena permotoran, dianggap sebagai ikon generasi baharu yang berjaya mempamerkan disiplin, fokus dan semangat juang yang tinggi – baik di dalam mahupun di luar litar.

Majlis penyerahan rasmi yang berlangsung di Ibu Pejabat MKA Group turut disertai pihak media yang berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat jentera berprestasi tersebut serta berkongsi detik istimewa bersama Hakim Danish.

Menurut Penolong Pengurus Besar UMA Racing, Alfred Lim Chiu Siong, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen mereka dalam menyokong bakat muda dan menanam nilai tanggungjawab terhadap keselamatan jalan raya.

“Menerusi kerjasama ini, UMA Racing bersama RCB mengukuhkan sokongan terhadap bakat akar umbi serta memastikan mereka dilengkapi dengan peralatan yang betul untuk mengejar impian dengan penuh tanggungjawab,” jelas beliau.

Inisiatif ini bukan sahaja meraikan pencapaian Hakim Danish, tetapi turut menjadi inspirasi buat belia seluruh negara untuk terus maju dalam bidang permotoran secara selamat dan profesional.