Villarreal, Barcelona berpotensi cipta sejarah main aksi La Liga di Amerika Syarikat

64

Perlawanan La Liga antara Villarreal dan Barcelona pada Disember ini berpotensi mencipta sejarah sebagai aksi liga Eropah pertama yang berlangsung di luar benua selepas Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) meluluskan cadangan untuk menganjurkannya di Amerika Syarikat.

Dipetik dari BBC, RFEF kini akan memohon kelulusan rasmi daripada Uefa dan Fifa bagi memindahkan perlawanan tersebut ke Hard Rock Stadium, Miami pada 20 Disember 2025. 


Stadium itu juga bakal menjadi salah satu venue Piala Dunia 2026. Pada asalnya, perlawanan dijadual berlangsung di Estadio de la Ceramica milik Villarreal pada 21 Disember.

Menurut kenyataan RFEF, pihaknya menerima permohonan rasmi daripada kedua-dua kelab pada 11 Ogos lalu. 

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan hebat daripada Persatuan Penyokong Bola Sepak Sepanyol (FASFE) bersama kumpulan penyokong Barcelona dan Villarreal yang menggelarnya sebagai “kegilaan” dan berjanji mengambil tindakan undang-undang jika ia diteruskan.

Fenomena perlawanan domestik dimainkan di luar negara bukan perkara baharu, dengan Piala Super Itali dan Sepanyol sebelum ini pernah dianjurkan di luar negara. 

AC Milan turut bercadang mengadakan aksi Serie A di Australia tahun depan, walaupun masih menunggu kelulusan rasmi.

Fifa ketika ini melarang aksi liga domestik berlangsung di luar negara, namun telah menubuhkan kumpulan kerja untuk mengkaji kemungkinan perubahan peraturan tersebut.