CAS kekalkan hukuman UEFA, Crystal Palace gagal ke Europa League
Crystal Palace terpaksa akur beraksi dalam Europa Conference League musim ini selepas rayuan mereka terhadap penyingkiran daripada Europa League ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Dipetik dari BBC, keputusan ini sekali gus mengesahkan tempat Nottingham Forest dalam Liga Europa, menggantikan Palace.
Ia diumumkan hanya sehari selepas Palace menewaskan Liverpool menerusi penalti untuk merangkul Perisai Komuniti di Wembley.
Palace pada awalnya layak ke Europa League selepas menjuarai Piala FA musim lalu, namun dihukum UEFA kerana melanggar peraturan pemilikan berbilang kelab.
Bekas pemegang saham utama, John Textor, memiliki 43% pegangan dalam Palace sebelum menjualnya pada Jun lalu, dan turut menjadi pemilik majoriti kelab Lyon yang juga layak ke Europa League.
UEFA memberi tempoh sehingga 1 Mac 2025 untuk membuktikan penyusunan semula pemilikan, namun Palace gagal memenuhinya.
CAS menolak hujah bahawa Textor tiada pengaruh besar pada tarikh penilaian, sambil menegaskan peraturan UEFA jelas dan tiada kelonggaran bagi kelab yang tidak patuh.
Palace bakal menentang Fredrikstad dari Norway atau Midtjylland dari Denmark pada pusingan play-off Conference League hujung bulan ini.