Penang FC tiada masalah gaji, pemain hanya perlu fokus prestasi – YB Daniel Gooi

175

Penang FC terus melangkah ke musim 2025/2026 dengan penuh keyakinan, disokong oleh reputasi sebagai antara kelab paling stabil dalam kancah bola sepak tempatan. 

Meskipun musim lalu menyaksikan beberapa pasukan bergelut dengan isu tunggakan gaji, Penang FC kekal kukuh tanpa terpalit kontroversi tersebut.


Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, YB Daniel Gooi Zi Sen, faktor utama kestabilan itu adalah pengurusan yang teliti, khususnya dalam aspek kewangan dan sumber manusia.

“Penang FC berada di bawah kelolaan GLC kerajaan negeri, jadi kami menetapkan standard tinggi dalam pengurusan. 

Dari awal, kita sudah ada perancangan rapi untuk mengelakkan isu seperti tunggakan gaji. Kebajikan pemain sentiasa menjadi keutamaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tegasnya, pemain-pemain Penang tidak perlu bimbang mengenai soal gaji atau kebajikan, sebaliknya hanya perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi di atas padang.

“Ini sepatutnya menjadi tanggungjawab semua pemilik kelab, tidak kira di Liga Super atau liga lain. Pemain harus bebas daripada gangguan luar padang supaya dapat beraksi dengan terbaik.”

Sementara itu, Penang memulakan kempen Liga Super musim 2025/26 dengan langkah kiri apabila mereka tewas 3-0 kepada Terengganu FC di halaman sendiri.